Wednesday, October 22, 2025
Google search engine
HomeDalam Negeri40% Hasil Cukai Sabah: Antara Hak Perjanjian dan Realiti Persekutuan

40% Hasil Cukai Sabah: Antara Hak Perjanjian dan Realiti Persekutuan

Isu tuntutan 40 peratus hasil kutipan cukai daripada Sabah kembali menjadi bahan perdebatan hangat. Ia bukan isu baru, bukan juga isu kecil. Ia persoalan yang menyentuh nadi hubungan antara Sabah dan Persekutuan iaitu hubungan yang diikat oleh sejarah, janji dan persepsi keadilan.

Ramai bercakap atas nama hak, tetapi sedikit yang berani menyentuh realiti. Dalam politik Sabah hari ini, isu ini menjadi “peluru paling mudah” untuk mencipta wira baharu, wira yang kononnya berjuang atas nama MA63 tetapi di sebaliknya mungkin sekadar mencari pengaruh dan kedudukan.

Tiada siapa menolak bahawa Perjanjian Malaysia 1963 mesti dihormati. Ia asas penyatuan, malah simbol penghormatan terhadap Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf dalam pembentukan Malaysia.

Namun, sejak 1963 hingga kini, hakikatnya jumlah dana, projek pembangunan dan perbelanjaan kerajaan Persekutuan di Sabah jauh melebihi 40 peratus hasil cukai yang menjadi pertikaian. Jalan raya, sekolah, hospital, kem askar, balai polis dan semuanya datang daripada bajet Persekutuan.

Maka wajar kita bertanya dengan jujur, apakah perjuangan menuntut 40 peratus ini benar-benar berasaskan keperluan rakyat Sabah atau sekadar naratif politik untuk mencipta sentimen anti-Persekutuan dan anti-Semenanjung?

Agenda di Sebalik Slogan “Hak Sabah”

Isu 40 peratus ini telah ditarik ke dalam gelanggang politik dengan dua tujuan utama:

  1. Untuk membina imej kononnya “wira rakyat Sabah” yang berani menentang pusat
  2. Untuk memecah-belahkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Persekutuan.

Lebih malang, ada juga pihak luar yang melihat isu ini sebagai ruang untuk menanam bibit sub-nationalism satu bentuk semangat kenegerian yang boleh menggugat perpaduan nasional. Jika dibiarkan tanpa kefahaman yang betul ia akan menjadi racun halus yang memisahkan Sabah dari semangat kebersamaan Malaysia.

Dilema Kewangan dan Beban Tanggungjawab Persekutuan

Dari segi perakaunan, isu ini tampak mudah: hasil dikutip, 40 peratus dipulangkan kepada Sabah. Namun dalam realiti pentadbiran dan fiskal negara ia tidak semudah itu.

Jika kerajaan Persekutuan menyerahkan terus 40 peratus kepada Sabah maka kemampuan kewangan pusat untuk menampung tiga perkara utama di Sabah akan menurun secara drastik:

  1. Pendidikan: Gaji ribuan guru, pembinaan sekolah, penyelenggaraan asrama dan kemudahan pendidikan luar bandar.
  2. Keselamatan: Penempatan anggota polis dan tentera, penyelenggaraan kem, balai dan aset keselamatan di sempadan luas Sabah.
  3. Infrastruktur: Jalan raya, lebuh raya, rumah rakyat, kemudahan asas luar bandar dan bekalan air bersih.

Persoalannya: adakah Sabah bersedia mengorbankan sebahagian peruntukan ini hanya kerana kita mahu memenuhi ‘tuntutan simbolik 40 peratus itu? Atau adakah kita hanya ingin melihat angka di atas kertas bukan realiti di atas tanah?

Hak Tidak Boleh Dipisahkan Dari Tanggungjawab

Tidak ada sesiapa yang menafikan hak Sabah tetapi dalam sebuah persekutuan, hak datang bersama tanggungjawab dan kebergantungan bersama. Malaysia tidak akan makmur jika setiap negeri berfikir secara terasing dan menuntut seolah-olah mereka berdiri sendiri.

Sebab itu, pendekatan terbaik bukanlah slogan “beri balik hak Sabah sekarang!” tetapi pendekatan berasaskan kefahaman fiskal bersama.

Kerajaan Persekutuan wajar membuka kira-kira sebenar, berapa jumlah yang telah dibelanjakan untuk Sabah setiap tahun dalam pendidikan, keselamatan, infrastruktur dan kesihatan. Biarlah rakyat melihat angka sebenar, bukan angka politik.

Sudah tiba masanya isu ini dibawa keluar dari dewan politik dan diserahkan kepada rakyat Sabah sendiri. Bukan ditentukan oleh NGO yang berkepentingan, bukan juga oleh ahli politik yang bermain dengan emosi kenegerian.

Cadangan terbaik ialah satu sesi penerangan menyeluruh di seluruh Sabah bagi menjelaskan dengan telus perincian aliran perbelanjaan Persekutuan dan kesannya jika 40 peratus hasil cukai itu diberikan terus.

Selepas itu, adakan referendum rakyat Sabah. Biar rakyat sendiri memilih  dengan maklumat penuh, bukan dengan sentimen separuh masak.

Semua orang perlu sedar, menghormati MA63 bukan sekadar menunaikan angka 40 peratus. Ia tentang mencari titik keseimbangan antara hak negeri dan tanggungjawab bersama dalam Persekutuan.

Sebuah negara tidak boleh kukuh jika negeri dan pusat saling mencurigai dan Sabah tidak akan maju jika perjuangannya digerakkan oleh populisme tanpa strategi kewangan yang matang.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments