Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dunia politik kembali bergegar dengan satu persoalan besar adakah benar Datuk Seri Najib Razak bakal diampunkan atau ada tangan ghaib yang sedang menghalangnya?
Sumber dalaman memaklumkan, terdapat tekanan halus daripada pihak tertentu agar permohonan pengampunan Najib akan dihalang sekiranya ada. Malah ada juga yang mengatakan, jika wujudlah surat rasmi berkenaan pengampunan itu maka “tidak akan dilayan” di peringkat tertinggi?
Lebih menarik, terdapat dakwaan bahawa Najib sebenarnya bakal dibebaskan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Namun, pembebasan itu dihalang secara taktikal kerana bimbang ia akan mengubah peta politik di Sabah terutamanya terhadap peluang sesetengah pemimpin yang sedang mengintai jawatan dan pengaruh.
“Kalau Najib keluar sebelum PRN Sabah, ramai yang akan tukar kem. Itu hakikatnya,” kata seorang penganalisis politik tempatan yang enggan dinamakan.
Beberapa pemerhati berpendapat bahawa selagi Najib berada di luar penjara, keseimbangan kuasa tidak akan tenang. Beliau masih mempunyai pengaruh besar dalam kalangan akar umbi, dan sebarang pergerakannya mampu menggugat strategi parti-parti tertentu menjelang PRU-16.
Atas sebab itulah katanya, lebih mudah untuk terus menahan Najib di balik tirai besi dengan alasan teknikal dan prosedur undang-undang sambil memberi gambaran kononnya semuanya berjalan “ikut proses”.
Esok, perbicaraan kes 1MDB akan bermula dan rakyat akan memerhati dengan penuh tanda tanya. Adakah episod kali ini akan berubah atau masih dengan skrip lama yang berulang seperti tarikh ditangguh, dokumen tidak lengkap, bahan bukti hilang, dan kes terus berjalan bertahun-tahun tanpa penamat?
Persoalan ini penting kerana ia bukan sekadar soal Najib tetapi soal kredibiliti sistem keadilan dan sejauh mana kuasa politik mampu mencatur nasib seseorang.
Apa pun keputusannya nanti, satu hal pasti nama Najib Razak belum padam dari pentas politik Malaysia. Beliau masih menjadi simbol bahawa keadilan belum ditegakkan sepenuhnya.
“Yang takut bukan Najib. Yang takut, ialah mereka yang gila nak berkuasa.”