Hari ini bermulalah sesi hujahan akhir kes pembelaan bagi kes 1MDB Tanore, satu-satunya kes berkaitan 1MDB yang masih berjalan di mahkamah. Kes-kes lain yang pernah dikaitkan sebelum ini sama ada telah dilepaskan atau berakhir dengan pembebasan tertuduh.
Hujahan akhir ini boleh dianggap sebagai fasa terakhir dalam perjalanan panjang perbicaraan jenayah di mana pihak pendakwaan dan pembelaan akan mengemukakan argumentasi penutup (closing arguments) bagi meyakinkan hakim. Di sinilah segala bukti, fakta kes, dan hujah undang-undang yang telah dikemukakan sepanjang perbicaraan disusun semula untuk memperkukuh posisi masing-masing.
Bagi kes Datuk Seri Najib Razak, hujahan akhir ini dijadualkan berlangsung selama sembilan hari, bermula 21 hingga 24 Oktober dan bersambung semula pada 27 hingga 31 Oktober 2025.
Sebelum ini, pihak pendakwaan menutup kes pada 30 Mei tahun lalu selepas memanggil 50 orang saksi, manakala pihak pembelaan menutup kes pada 6 Mei 2025 selepas 26 saksi tampil memberi keterangan.
Untuk rekod, Najib telah dakwa sejak tahun 2018, menjadikan tempoh keseluruhan kes ini sudah berlarutan selama tujuh tahun dan ianya adalah antara perbicaraan paling panjang dan kompleks dalam sejarah kehakiman negara.
Kini, semua tumpuan terarah kepada hujahan akhir ini kerana ia bakal menjadi penentu utama sama ada Datuk Seri Najib bersalah atau dibebaskan daripada pertuduhan yang dikaitkan dengannya.
Rakyat Malaysia menantikan keputusan ini dengan pelbagai harapan dan pandangan. Namun, pada akhirnya, kebenaran dan keadilanlah yang diharapkan akan mengatasi segala persepsi.
Doakan yang terbaik buat Datuk Seri Najib Razak. Semoga kebenaran dan keadilan akhirnya ditegakkan.