LINGKARAN gelap bawah mata sering dianggap sebagai masalah biasa yang dialami oleh wanita mahupun lelaki.
Namun, bagi sebahagian besar individu, ia memberi kesan besar terhadap penampilan dan keyakinan diri kerana lingkaran ini boleh membuatkannya kelihatan lebih berusia daripada umur sebenar.
Ramai yang beranggapan, lingkaran gelap ini hanyalah berpunca daripada keletihan semata-mata, sedangkan gaya hidup seseorang turut memainkan peranan besar dalam kemunculan dan tahap ketaranya.
Gaya hidup yang tidak seimbang juga menjadi punca utama pelbagai masalah kesihatan, termasuklah lingkaran gelap bawah mata
Oleh itu, penting untuk kita memahami bagaimana gaya hidup kita mempengaruhi keadaan ini agar dapat mengambil langkah pencegahan yang sesuai.
Salah satu faktor utama gaya hidup yang menyumbang kepada kemunculan lingkaran gelap bawah mata ialah kurang tidur.
Tidur yang tidak mencukupi mengganggu proses pemulihan dan memperbaharui sel-sel kulit. Apabila seseorang mengalami kurang tidur secara berterusan, saluran darah di bawah mata akan menjadi lebih ketara, menjadikan kawasan itu kelihatan gelap dan lebam.
Selain itu, kurang tidur juga menyebabkan kulit menjadi pucat, sekali gus menonjolkan lagi warna gelap di bawah mata.
Oleh itu, tidur yang berkualiti sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam setiap malam adalah penting untuk kesihatan keseluruhan dan juga kecantikan kulit wajah.
Selain daripada itu, tekanan yang berlebihan juga salah satu penyumbang utama kepada masalah ini.
Dalam kehidupan yang penuh tekanan seperti komitmen kerja, masalah kewangan, dan hubungan peribadi, ramai individu mengalami stres tanpa sedar.
Tekanan emosi yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan keseimbangan hormon, malah turut mengganggu pola tidur, sekali gus memburukkan keadaan lingkaran gelap bawah mata.
Tambahan pula, stres boleh menyebabkan seseorang menggosok atau menyentuh kawasan mata secara berlebihan, yang boleh merosakkan saluran darah halus di bawah kulit mata.
Penggunaan skrin secara berlebihan turut menjadi penyebab. Penggunaan telefon pintar, komputer riba dan televisyen untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan mata menjadi letih dan kering.
Kelesuan mata ini boleh menyebabkan saluran darah di sekeliling mata membesar, menjadikan lingkaran gelap lebih ketara. Penggunaan skrin yang berpanjangan juga sering mengganggu pola tidur seseorang, sekali gus memperburuk keadaan tersebut.
Oleh itu, penting untuk kita mengamalkan rehat mata secara berkala dan mengehadkan masa skrin, terutamanya sebelum tidur.
Amalan merokok dan pengambilan alkohol juga berkait rapat dengan kemunculan lingkaran gelap bawah mata. Nikotin dan bahan kimia dalam rokok menyebabkan saluran darah mengecil, mengurangkan pengaliran oksigen serta nutrien ke kulit.
Ini akan menjadikan kulit bawah mata lebih nipis dan gelap. Alkohol pula menyebabkan saluran darah mengembang, sekali gus menonjolkan lingkaran gelap dengan lebih jelas.
Oleh itu, menghentikan tabiat ini bukan sahaja baik untuk kesihatan dalaman, malah memberi kesan positif kepada penampilan luaran.
Tidak dapat dinafikan, faktor genetik turut memainkan peranan dalam kemunculan lingkaran gelap bawah mata, namun gaya hidup yang sihat boleh membantu mengurangkan kesannya.
Senaman secara berkala, contohnya, membantu melancarkan peredaran darah, termasuk di bahagian wajah, yang seterusnya membantu mengurangkan lingkaran gelap.
Senaman juga membantu mengurangkan stres dan meningkatkan kualiti tidur, dua faktor penting dalam penjagaan kulit.
Justeru, untuk mengekalkan wajah yang segar dan sihat, kita perlu
mengamalkan gaya hidup yang seimbang dan sihat untuk masa hadapan.