Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick hari ini menggegarkan gelanggang politik nasional apabila beliau menyatakan kesediaan meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan sekiranya kerajaan tetap memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menegaskan pendiriannya itu ketika menggulung ucapan pada Konvensyen Upko Bahagian Penampang, di mana beliau disambut sorakan sokongan perwakilan.
“Saya bersedia mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan demi menghormati dan mempertahankan hak perlembagaan Sabah serta semangat penubuhan Malaysia,” tegas Ewon.
Konvensyen itu turut meluluskan resolusi rasmi supaya Ewon berundur daripada jawatan menteri sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) meneruskan hasrat merayu keputusan tersebut.
Menurut Ewon, pendiriannya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan seluruh anggota Jemaah Menteri bahawa AGC tidak seharusnya memfailkan rayuan, memandangkan keputusan mahkamah itu selari dengan hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya akan membawa resolusi ini ke mesyuarat Kabinet minggu depan supaya pendirian parti direkodkan secara rasmi,” katanya lagi.
Usul berani itu dibawa Ketua Bahagian Upko Penampang, Donald Peter Mojuntin, yang menegaskan bahawa sebarang tindakan untuk merayu akan mengkhianati semangat MA63 serta menjejaskan hak kewangan Sabah yang dijamin sejak pembentukan Malaysia.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Sabah berhak secara perlembagaan menerima 40 peratus daripada hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu, berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah turut mengarah kerajaan persekutuan dan negeri untuk menyemak serta menyelesaikan tunggakan bagi “tahun-tahun yang hilang” dari 1974 hingga 2021, dalam tempoh 180 hari.
Ketika ini, AGC sedang meneliti keputusan tersebut sebelum menentukan sama ada akan memfailkan rayuan, langkah yang dilihat bakal menguji keikhlasan kerajaan pusat dalam menghormati hak autonomi Sabah.
Kenyataan Ewon bukan sekadar simbol protes tetapi ia adalah mesej politik paling lantang dari seorang menteri Sabah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Jika beliau benar-benar meletakkan jawatan, langkah itu akan mencipta gelombang politik besar – bukan hanya di Sabah tetapi juga dalam kabinet yang sedang berdepan persepsi lemah terhadap isu tuntutan hak negeri Borneo.Adakah Kerajaan Persekutuan berani menghormati keputusan mahkamah atau rela kehilangan seorang menteri Sabah?