Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis menggesa kerajaan pusat membantu rakyat Sabah yang tinggal di semenanjung pulang untuk mengundi pada pilihan raya negeri Sabah ke-17 (PRN-17) akan datang.
Gesaan itu susulan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa tiada undi pos bagi pengundi Sabah yang berada di Semenanjung.
Dalam satu kenyataan hari ini, Isnaraissah, yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan
Reformasi Institusi Parlimen, berkata SPR berisiko menafikan ramai rakyat Sabah hak untuk mengundi.
“Saya sudah pun suarakan kepada SPRmengenai keperluan untuk rakyat Sabah yang berada dan bekerja di Semenanjung diberikan hak untuk mengundi tanpa perlu berada di Sabah,” katanya.
Sebagai tindak balas kepada pengumuman SPR, Ahli Parlimen Warisan itu mencadangkan dua langkah untuk pertimbangan kerajaan persekutuan – cuti sehari tanpa rekod untuk rakyat Sabah di semenanjung pulang ke tanah air, dan kawalan tambang penerbangan bagi memastikan harga tiket mampu milik.
“Pertama, saya mohon agar kerajaan persekutuan memberikan cuti tanpa rekod sehari sebelum hari mengundi kepada Rakyat Sabah yang berada di Semenanjung untuk pulang ke Sabah.
“Kedua, saya mohon agar kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan memastikan agar tambang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dapat dikawal dan diturunkan kepada satu kadar yang munasabah dan mampu,” katanya
Isnaraissah berkata kedua-dua cadangan itu mesti diambil serius untuk menjaga hak mengundi rakyat Sabah dan mengukuhkan proses demokrasi Malaysia.
“Saya mohon dua cadangan ini diberikan pertimbangan yang serius dan sewajarnya oleh kerajaan demi memastikan hak rakyat Sabah tidak dihalang dan demokrasi di Malaysia dapat disuburkan,” katanya.
SPR mengumumkan pilihan raya negeri Sabah akan diadakan pada 29 Nov.
SPR juga menetapkan 15 Nov untuk pencalonan, dengan pengundian awal dijadualkan pada 25 Nov.



