Wednesday, October 22, 2025
Google search engine
HomeDalam NegeriPemulangan Dana: Zeti Tahu, Terima Surat Rasmi Dari Najib Razak

Pemulangan Dana: Zeti Tahu, Terima Surat Rasmi Dari Najib Razak

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dirinya sebagai satu-satunya ahli politik atau “pengubah wang haram dalam sejarah” yang memulangkan semula wang suapan berjumlah AS$620 juta (kira-kira RM2.6 bilion) kepada akaun asal selepas mendapat kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, pemulangan dana tersebut dilakukan dengan penuh ketelusan malah beliau terlebih dahulu menulis surat kepada Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bagi memaklumkan hasrat untuk memulangkan semula wang tersebut.

“Saya memulangkan wang itu kerana dana itu tidak lagi diperlukan. Barangkali saya juga yang pertama dalam sejarah yang memberikan notis terhadap wang ‘haram’ itu kepada Gabenor Bank Negara sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di Mahkamah Tinggi Putrajaya hari ini.

Najib berkata demikian ketika memberikan kata pengantar sebelum pihak pembelaan memulakan hujahan lisan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini memasuki peringkat akhir perbicaraan.

Najib menegaskan, penelitian terhadap keseluruhan bukti pendakwaan jelas menunjukkan kes terhadap dirinya dibina atas asas “keterangan dengar cakap” semata-mata.

Menurutnya, pendakwaan gagal memenuhi keperluan asas penerimaan keterangan jenis itu, malah tiada sebarang bukti kukuh menunjukkan dana berjumlah AS$681 juta yang diterimanya mempunyai kaitan langsung dengan dana 1MDB.

“Tiada sebarang usaha dibuktikan untuk mengesan saksi penting, khususnya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low). Bahkan, setakat rekod yang ada, SPRM tidak pernah menyebut adanya percubaan untuk menjejaki mereka sebelum meminta mahkamah menentukan bahawa mereka ‘tidak dapat ditemukan’,” katanya.

Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala kesalahan pengubahan wang haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi yang sama.

Perbicaraan kini berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dengan pihak pembelaan sedang mengemukakan hujahan akhir bagi membuktikan bahawa semua transaksi tersebut bukan hasil penyelewengan, sebaliknya derma sah daripada pihak luar.

Tindakan Najib menegaskan dirinya “memulangkan wang haram” secara rasmi kepada BNM membuka naratif baru dalam hujahan kes 1MDB. Namun, segala-galanya kini bergantung kepada sejauh mana mahkamah menilai kredibiliti bukti serta kehadiran saksi utama seperti Jho Low yang kekal misteri hingga hari ini.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments