Barisan Nasional (BN) dilihat tampil berani menjelang PRN Sabah ke-17 apabila bakal mempertaruhkan 80 peratus calon muka baharu, langkah yang disifatkan sebagai tanda kebangkitan semula suara rakyat dan pembaharuan politik yang sebenar.
Pergerakan Pemuda UMNO Tawau melalui ketuanya, Rushamizan Rustam, menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang menurutnya berjaya membawa semangat baharu dalam hala tuju politik BN di Sabah.
“Keputusan ini bukan sekadar gimik politik, tetapi bukti keberanian BN untuk berubah dan mendengar suara rakyat. Ini tanda parti memahami realiti baharu dan aspirasi generasi muda Sabah,” tegasnya.
Rushamizan menegaskan, formula baharu BN yang menampilkan kombinasi antara calon berpengalaman dan calon muda merupakan pendekatan yang pragmatik serta berpandangan jauh.
“Rakyat tidak mahu retorik, mereka mahu hasil. BN hari ini bukan lagi parti nostalgia, tetapi parti masa depan, majmuk, progresif dan dekat dengan rakyat dari semua lapisan,” tegasnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa PRN kali ini bukan hanya pertarungan politik biasa, tetapi medan menentukan hala tuju Sabah sama ada terus terjebak dalam kitaran lama, atau memilih pembaharuan yang stabil dan realistik.
“Inilah masa untuk anak muda Sabah bangkit dan bersama dalam gerakan pembaharuan ini. BN tidak sekadar menukar calon, tetapi sedang menukar cara berfikir dan berjuang,” ujarnya lagi.
Langkah memperkenalkan 80 peratus calon muka baharu memperlihatkan keberanian BN meninggalkan “politik warisan” yang sering menjadi beban persepsi. Bung Moktar kini muncul sebagai simbol fasa transisi antara generasi lama yang memacu asas perjuangan, dan generasi baharu yang membawa tenaga serta idealisme segar.
Strategi ini, jika diterjemahkan dengan disiplin politik dan pendekatan berteraskan rakyat, mampu menjadikan BN parti pembaharuan sebenar Sabah, bukan lagi parti status quo. Dalam landskap politik yang semakin cair, keberanian untuk berubah adalah kunci untuk kekal relevan.
BN kini bukan hanya bertanding untuk menang, tetapi sedang mengembalikan keyakinan rakyat bahawa politik yang berprinsip dan bermaruah masih ada tempat di bumi Sabah.



