KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) Sabah menetapkan tiga kriteria utama sebagai syarat untuk menjadi calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Naib Pengerusi PN Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata hanya calon yang benar-benar berwibawa, berakhlak dan berjiwa rakyat akan dipilih mewakili gabungan berkenaan.
Katanya, ciri-ciri itu penting sebagai asas untuk menjadi wakil rakyat yang bersih, bebas rasuah dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“PN Sabah komited menampilkan calon terbaik yang berwibawa, berakhlak dan berjiwa rakyat sekali gus menawarkan wakil rakyat yang bersih, bebas rasuah serta kompeten dalam melaksanakan amanah kepimpinan,” katanya dalam kenyataan susulan pengumuman tarikh penting PRN17 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini, semalam
Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata PN menyasarkan untuk bertanding 36 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada pilihan raya kali ini.
Proses pemilihan calon yang sesuai bagi mewakili PN di semua kerusi yang disasarkan gabungan itu masih dilaksanakan.
Sementara itu, Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, berkata parti itu komited menghadapi PRN17 bersama rakan komponen dalam gabungan PN di Sabah.
“PAS Sabah menegaskan komitmen untuk bersama rakan-rakan dalam gabungan PN menghadapi pilihan raya ini dengan tekad memperjuangkan keadilan, integriti pentadbiran dan pembelaan rakyat di Sabah,” katanya.
Jentera PAS dan PN komited menghadapi PRN17 yang dijadualkan pada 29 November depan dengan penuh disiplin, kesungguhan dan semangat perjuangan.
Setakat ini, Aliakbar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik bagi DUN Ke-16 Sabah, dijangka bertanding di kerusi DUN Karambunai dalam Parlimen Sepanggar.
Beliau dijangka berdepan penyandang kerusi DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan dari Barisan Nasional (BN) dan bekas ADUN Karambunai, Azhar Matussin yang dijangka dicalonkan semula oleh Parti Warisan.
Selain beliau, Pengerusi PN Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan turut dijangka bertanding di kerusi DUN Sugut.
Antara pencabar di kerusi berkenaan ialah penyandangnya yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.
Selain kerusi ADUN Dilantik yang disandang Aliakbar, PN tiada kerusi dalam DUN ke-16 yang dibubarkan pada 6 Oktober lalu.



